Laman Utama / Pengenalan


Penawaran Wakaf Saham melibatkan sehingga 850 juta saham biasa baru dalam Larkin Sentral Property Berhad kepada Institusi-Institusi dan Individu-Individu pada harga langganan sebanyak RM0.10, setiap saham terbitan yang kemudiannya diberikan (Melalui Wakaf) kepada Waqaf An-Nur Corporation Berhad 

Waqaf Saham Larkin Sentral Property Berhad (Larkin Sentral) merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) bagi kepentingan kebajikan dan ekonomi masyarakat ummah keseluruhannya. Penawaran kami adalah tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat Prospektus. Penawaran kami melibatkan penawaran sehingga 850 juta Saham Terbitan kepada institusi-institusi dan individu-individu pada Harga Langganan yang kemudiannya diberikan (melalui wakaf) kepada Promoter.


Ianya memberikan peluang kepada pewakaf-pewakaf individudan institusi-institusi untuk melanggan saham-saham baru Larkin Sentral dengan nilai langganan minima RM 100 atau 1,000 unit saham dengan harga tawaran sebanyak RM 0.10 setiap saham dan seterusnya mewakafkan saham-saham tersebut kepada WANCorp melalui Hujjah Wakaf yang akan dilaksanakan di hadapan dua saksi. 

Jumlah keseluruhan tawaran saham baru adalah sebanyak RM 85 juta atau 850 juta unit saham. Jumlah RM 85 juta akan digunakan untuk membiayai penambahbaikan Sistem Operasi Terminal dan pembangunan naiktaraf Bangunan Terminal Pengangkutan Larkin Sentral dan Pasar Awam yang terletak di Larkin, Johor Bahru. Pembangunan tersebut juga termasuk pembelian tanah, pembinaan ruang parkir bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan dikhaskan kepada ibu tunggal dan golongan yang kurang berkemampuan untuk berniaga.

Dividen atau manfaat yang diperolehi oleh WANCorp dari penawaran ini akan digunakan untuk:
  • Untuk mengenakan kadar sewa yang munasabah bagi penyewa-penyewa terpilih Larkin Sentral 
  • Mengenakan kadar sewa minimum untuk lot-lot kedai kecil yang diwujudkan dalam Larkin Sentral bagi ibu tunggal dan kumpulan berpendapatan rendah




Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin 
                        
Larkin Sentral adalah terminal pengangkutan utama di Johor Bahru. Perkhidmatan bas awam dari Larkin Sentral menawarkan pengangkutan ke pelbagai destinasi di Semenanjung Malaysia serta Singapura dan perkhidmatan teksi dari Larkin Sentral menyediakan pengangkutan ke semua bandar utama di Johor dan ke pelbagai destinasi di luar Johor.

Selain daripada perkhidmatan bas dan teksi, bangunan Larkin Sentral juga merupakan pasar basah yang menjual hasil segar dan mempunyai medan selera yang boleh memuatkan sehingga 1,000 pengunjung pada satu masa. Terdapat juga restoran makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut, McDonald’s, Dunkin’ Donuts dan Subway serta pelbagai bakeri dan kedai kopi.

Terminal pengangkutan juga mempunyai gerai bazar yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, beg, kasut, buku, barang-barang runcit, produk kesihatan, barang-barang perkahwinan, snek dan menyediakan perkhidmatan seperti kedai jahit, dobi, membaiki kasut dan jam tangan, perkhidmatan mengunting rambut dan klinik.Kemudahan-kemudahan lain termasuk Masjid An-Nur Larkin Sentral, Klinik Waqaf An-Nur, pejabat pos mini, kawasan menunggu bas antara bandar, mesin juruwang automatik dan petak tempat letak kereta 24 jam.

Pada masa ini, Larkin Sentral sedang menjalani kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti lebih tinggi kepada orang awam dan bagi meningkatkan kapasiti sedia adanya untuk memenuhi peningkatan yang dijangka dalam trafik yang melibatkan bas henti-henti dan bas ekspres.

Kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih juga dijangka meningkatkan permintaan bagi ruang sewa yang dijangka menghasilkan peningkatan dalam kadar penghunian untuk penyewa-penyewa runcit.